Pengertian
“Literal” difahami secara bahasa adalah “Tersurat” atau “Zahir” iaitu lawannya
bagi perkataan sebagai tersirat. Secara istilah menurut pengkaji kontemporari pemikiran
literal adalah merujuk kepada sesuatu pemikiran sekumpulan dari manusia samada
agamawan atau bukan dalam kalangan masyarakat hari ini yang dominan dalam
menafsirkan ayat-ayat Qur'an dan Hadith secara zahir maksudnya. Mereka inilah
yang membawa tafsiran wahyu secara keras serta meyakini bahawa tafsiran mereka
sahaja yang betul dan tepat. Perkara ini seperti yang dilakukan oleh golongan
yang biasanya mendakwa sebagai pengikut manhaj Salafus Soleh yang dipanggil
“Salafi” secara mufradnya dan salafiyyun secara jama’nya, bahkan mereka
mengistiharkan bahawa merekalah aliran Ahli Sunnah Wal Al- Jama’ah.
Maka jumhu’ agamawan kontemporari yang melebelkan mereka sebagai Pseudo-Salafi
iaitu Salaf Palsu. Sekiranya dipanggil mereka sebagai aliran Wahhabi, mereka
menafikannya, walaupun hakikatnya merekalah yang mengetengahkan asas aliran pemikiran tersebut (iaitu aliran yang disandarkan kepada nama tokoh bernama Muhammad bin Abdul Wahab). Di antara
alasan penafian itu, kerana mereka mengatakan mengikut sunnah Rasulullah dan Salafus Soleh berpengang pada Qur’an dan Hadith, bahkan mazhab Wahhabi masih belum ada lagi waktu itu.
Konsep
yang dibawa oleh mereka iaitu memahami Qur’an dan hadith secara zahir inilah
yang menyumbang kepada beberapa penyelewengan dalam ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah
itu sendiri. Dan pemikiran inilah menjadi asas kepada kesesatan yang melibatkan
perkara-perkara furu’ fahaman mereka yang lain. Perbahasan mereka yang menolak
pandangan-pandangan dari kalangan beberapa Ulama’ Mu’tabar Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang tulen terutamanya
dalam kalangan aliran Khalaf menyebabkan berlaku pertembungan dan pepecahan Aliran
Ummah Islam pada hari ini. Ini seperti mereka berkeras menolak amalan-amalan
orang Islam yang dilihat bagi mereka tiada sumber daripada Qur’an dan Hadith yang Sohih.
Sekaligus mereka menghukum perbuatan tersebut sebagai bida’ah dan orang yang
melakukannya sebagai mubtadi’ (si pelaku bida'ah) yang sesat. Sebagai contoh mereka keras menolak
amalan tahlil kematian, menunggu kubur, tawassul dengan orang soleh dan para
nabi-nabi, mengadakan maulid nabi, sehingga terdapat yang lebih keras lagi ada yang menghukum bida’ah
orang yang mengamalkan qunut subuh (disebabkan hadith tentang adalah dhaif), menadah tangan sewaktu berdo'a, berwirid-wirid secara berjemaah selepas solat fardu dan banyak perkara lain lagi yang tiada larat penulis mencatatkan keseluruhannya. Pada mereka
amalan-amalan tersebut adalah tiada asal daripada Qur’an dan Hadith yang Sohih,
lantas menyebut “Nabi Tak Buat”.
Rentetan
daripada itu, gerakan-gerakan literal dari kalangan yang dikatakan sebagai agamawan inilah yang menyebar fahaman ini dilihat
semakin berkembang dalam kalangan masyarakat majmu’ di Malaysia pada hari ini. Mereka
telah memiliki pelbagai daripada pertubuhan, media dan NGO-NGO yang disokong oleh
institusi Majlis Agama Negeri tertentu ataupun kakitangan kerajaan yang menjadi Pro kepada aliran mereka. Di dalam ceramah-ceramah mereka, banyak mengemukakan
pandangan-pandangan yang bercanggah daripada pandangan para Ulama yang mu'tabar dan merupakan gaya mereka yang membaca serta memahami dalil-dalil tersebut secara
maksud yang zahir ditranslatekan setelah daripada bahasa Arab ke dalam bahasa
bangsa masing-masing. Sebagai contoh, terdapat pandangan mereka yang menghalalkan
berus gigi daripada bulu khinzir atau menghalalkan DNA khinzir dalam pengawetan
makanan. Hal itu terjadi, hasil daripada mereka memahami ayat Qur’an hanya zahirnya menyebut mengharamkan
daging khinzir sahaja. Itu contoh
penulis datangkan dari sudut fekah sedikit sahaja. Bahkan terlalu banyak
pandangan-pandangan mereka dalam masalah fekah yang telah tersasar hukum-hakamnya
daripada aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang sebenar. Dan menjadi kebiasaan keterujaan
mereka dengan tokoh-tokoh sealiran mereka dari timur tengah samada tokoh terkemudian
dan kontemporari. Ini seperti mereka mengangkat tokoh seperti Ibnu Taymiyyah,
serta anak muridnya Ibnu Jauzi Qayyim dan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab (iaitu
tokoh yang dikatakan sebagai tokoh mujaddid ialah tokoh pembaharuan yang menentang keras perkara bida'ah). Serta contoh
tokoh-tokoh kontemporari seperti Ibn Baz (Bekas Mufti Arab Saudi), Syeikh Uthaimin, Nasiruddin al-Albani
(Yang dikatakan Pakar pentashih hadith bagi mereka dan menjadi rujukan pentashih
hadith kontemporari mereka) dan banyak lagi. Sesiapa sahaja tokoh Islam yang dikira bagi mereka adalah selagu (senada) dengan pemikiran mereka maka mereka pasti mengangkatnya, sebab itulah sebenarnya mereka ini lebih dominan dengan mazhab fekah Imam Ahmad bin Hanbal iaitu mazhab hanbali. Disebabkan Imam Ahmad di antara tokoh ulama' Ahli Sunnah dari aliran salafus soleh yang pandangan berkenaan hukum-hakam fekahnya ditermakan berdasar dalil-dalil secara literal sahaja (Disini penulis bukan maksudkan Imam Ahmad itu wahhabi, tetapi aliran wahhabi sekarang telah menjadikan watak Imam Ahmad sebagai figure yang amat dikagumi oleh mereka berbanding Imam-Imam mazhab fekah Ahli Sunnah yang lain disebabkan pandangan-pandangan Imam Ahmad lebih kepada pementasan secara zahir dalil-dalil) yang didakwa oleh mereka sebagai manhaj yang selari dengan aliran anutan mereka.
Di
antara ciri-ciri yang boleh dikenal pasti, yang menunjukkan bahawa mereka
adalah golongan yang berfahaman “literal” ini, menurut Ustaz Ahmad Engku Fadzil
(di antara golongan muda aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah di Malaysia) iaitu
seorang pengkaji Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), mengatakan
beberapa perkara untuk mengenal pasti seperti berikut; Pertama mereka memahami
makna Qur’an dan hadith secara zahir. Kedua; Mereka keliru makna tauhid dan
syirik. Ketiga; Keliru makna sunnah dan bida’ah. Keempat; Keliru tentang mazhab
dan taqlid. Kelima; Keliru tentang jihad. Ciri-ciri ini adalah di antara yang
kasar-kasar secara ringkasnya. Pembaca boleh merujuk kepada buku yang ditulis
oleh Ustaz Muhadir Haji Joll As-Sanari (merupakan di antara asatizah aliran Ahli Sunnah
Wal Jamaah di Malaysia). Beliau telah mengupas masalah-masalah yang telah
dibangkitkan oleh figure-figure pemikiran Salafi-Wahhabi di Malaysia dalam bukunya
berjudul “Masalah Khilafiyah: Ini penjelasannya..” Semoga Allah Ta’ala
memberikan ganjaran di atas usaha gigih mereka pada hari ini dalam menjaga
ummah daripada tergelincir daripada fahaman yang salah dan menyeleweng.
Penulis
tidaklah mahu membincangkan masalah dan ciri-ciri fahaman mereka secara
terperinci. Kerana penulis mengetahui, bahawa telah banyak tokoh-tokoh dari aliran
Ahli Sunnah Wal Jama’ah di Malaysia ataupun diperingkat International telah membuat pelbagai
tulisan, artikel dan buku-buku untuk menjawab tuduhan mereka tersebut dan sekaligus menunjukkan
kebatilan aliran fahaman Pseudo-Salafi ini kepada masyarakat. Bahkan disini penulis mahu
mengemukakan kritikan terhadap fahaman manhaj mereka iaitu memahami Nas (Dalil)
Qur’an dan Hadith secara literal. Supaya kita dapat menilai, sejauh manakah risiko
bahaya dan penyelewengan yang berpunca daripada manhaj fahaman tersebut. Sepertimana
telah disebutkan di atas, kesilapan mereka dalam memahami konsep jihad. Hal ini
sebenarnya berpunca daripada manhaj fahaman itu sendiri. Seperti ayat Qur’an
yang menyebut dengan maksud: “Barangsiapa yang tidak menjalankan hukum Allah
maka mereka menjadi orang kafir”. Secara zahirnya mereka memahami perkataan kafir itu
adalah terkeluar daripada Islam dan halal darahnya serta boleh memeranginya
(sedangkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah menta’wilkan kafir itu adalah dengan
maksud ingkar dan tidak terkeluar daripada Islam).
Demikianlah
kesan tersebut, terlahirlah gerakan dinamakan sebagai Islamic States (ISIS) yang
dilebelkan sebagai kumpulan Islam teroris moden. Memang tepat (menurut
kajian-kajian ahli akademik cendiakawan semasa), IS ada kaitannya dengan
fahaman Pseudo-Salafi ini, lalu dinamakan sebagai Salafi-Jihadi yang berkembang
pesat di Syria sebagai pengkalan utama gerakan ini. Disebabkan bermula daripada manhaj literal menafsir Qur’an dan
Hadith adalah perkara yang sinonim di antara kedua-dua fahaman ini. Ditambahkan
lagi, konsep pembelajaran aqidah gerakan ISIS ini (sepertimana isi kandungan di
dalam buku IS panji berwarna hitam) yang dominan dengan pandangan-pandangan Ibnu
Taymiyyah dan tokoh-tokoh yang telah disebutkan tadi. Rentetan daripada ini,
golongan Pseudo-Salafi ini telah membunuh orang Islam sendiri di Syria
(Terutamanya Ulama daripada aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang tulen). Oleh kerana,
dikatakan bahawa mereka menyokong dibawah sistem politik demokrasi yang
dianggap oleh golongan IS sebagai sistem kufur dan sesiapa yang menyokongnya
juga dianggap sebagai kafir (mereka hanya menerima konsep Khilafah Daulah Islamiah
sahaja yang dikatakan oleh mereka sebagai pemerintah sunnah). Akibatnya juga, pengkaderan anggota IS ini majoritinya mendapat
sambutan daripada orang-orang agamawan berfahaman Salafi serta orang awam yang meminatinya termasuklah di Malaysia sendiri. Golongan ini telah mabuk dengan
fahaman secara zahir dalil-dalil yang dipengangi oleh mereka serta menwar-warkan
mati syahid sebagai tujuan utama mereka.
Adapun
kesemua dari ciri-ciri yang lima itu, sekiranya dianalisiskan keseluruhannya,
maka kita akan dapati ia bermula daripada manhaj mereka itu sendiri dengan konsep literal
menafsir dalil-dalil jua yang menjadi faktor utamanya. Sebab itulah penulis,
cuba mengkritik manhaj itu sendiri kerana ia adalah ibu segala punca daripada
fahaman yang menyeleweng ini. Tidak dapat tidak, penyelewengan pertama yang
lebih utama yang wajib dilihat dan diteliti, adalah penyelewengan dari sudut pengangan
aqidah itu sendiri. Sudah menjadi fahaman orang-orang aliran Pseudo-Salafi ini adalah
mereka merupakan golongan mengi’tiqadkan bahawa Tuhan berada di atas Arasy (walaupun mereka berkata ia tidak menyerupai makhluk). Ia berpunca
daripada penafsiran mereka dengan dalil-dalil mutasyabihat (ayat-ayat yang secara
zahir yang ditukarkan bahasa boleh membawa kepada Tuhan menyerupakan dengan
sifat-sifat makhluk yang berbentuk fizikal). Mereka menganggap bahawa tidak
perlu dita’wil atau ditukarkan maksud yang lain serta wajib beriman dengan apa
yang datang dari Qur’an itu sendiri. Bahkan
mereka melebelkan barangsiapa menta’wil ayat-ayat Qur’an itu maka mereka jelaslah termasuk
golongan yang ingkar, membuat tafsiran yang bida’ah dan mu’athilah (golongan yang menolak ayat Qur’an).
Perdebatan berkenaan hal ini semakin menjadi rumit, apabila kejahilan mereka menebal
dan mereka mula menyebarkan fitnah terhadaap golongan aliran yang bernama Khalaf,
bahkan tidak cukup daripada itu mereka memetik kata-kata Salaf serta membuat pengolahan
yang berdasarkan corak pemikiran literal mereka. Sebab itulah bagi mereka tiada
perlu penting kepada pengangan sesuatu mazhab, kerana mereka sendiri telah
merobek aliran kepakaran mazhab tersebut, seperti tidak memandang kepada konsep
autoriti mazhab itu sendiri dalam membahaskan isu-isu kepakaran masing-masing. Dan
golongan Pseudo-Salafi lebih dominan memakai pandangan aliran fekah dalam segenap masalah
ketuhanan dan majoriti kesemua bidang masalah furu'-furu' serta asas agama.
Penyelewengan
itu tidaklah terhenti disitu sahaja, bahkan ia mendapat respon daripada
golongan asatizah aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang tulen, yang telah bangkit
menentang serta mempertahankan konsep pengangan aqidah yang murni serta jelas
menurut Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang sebenar (seperti pengangan Ulama’ Mu’tabar
yang mengikuti pembahasan ilmu usuluddin menurut Abu Hassan As-Asha’ari dan Abu
Mansur Al-Maturidi). Namun, kebangkitan mereka menerima mehnah serta tribulasi
yang tinggi, akibat daripada kejahilan masyarakat awam semakin meningkat dalam
minda mereka pada hari ini (disebabkan sistem pendidikan agama Islam yang telah
diterapkan di peringkat bawah sekarang adalah bermanifestasikan konsep hafal
ayat Qur’an dan hafal Hadis lalu maksud yang ditukarkan bahasa sahaja), oleh itu
golongan-golongan pemikiran Pseudo-Salafi mendapat tempat dalam hati mereka, serta penguasaan
media mereka menjadi semakin rancak, mereka mula menyerap di dalam institusi-institusi
kerajaan lalu menggubalkan sesuatu undang-undang sekaligus membawa kepada
penyekatan golongan asatizah dan agamawan Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang tulen
tersebut.
Pada
pandangan penulis, fitnah aqidah inilah yang menjadi kerosakan yang amat besar dan
paling merbahaya kepada agama Islam. Kerosakan ini menyumbang kesesatan
pengangan kepada individul, kekeluargaan dan masyarakat majmu’ keseluruhannya. Kerana
bermula ibu fitnah di akhir zaman itu adalah untuk merosakan perkara aqidah
(agar tertolaklah amalan-amalan ibadah lainnya sehingga mati yang mereka
mendakwa syahid sekalipun). Malangnya, Pseudo-Salafi telah menyebarkan fitnah
bahawa itu perkara furu’ (cabang sahaja
daripada perbahasan agama Islam) yang tidak perlu dibimbangi, dan mengesa
orang awam tidak perlu mengendahkan soalnya. Lantas memanipulasikan ia sebagai alasan
kepelbagaian perbezaan pendapat dalam kalangan ulama sahaja. Itulah yang
diimani oleh kebanyakan masyarakat yang jahil pada hari ini. Bahkan yang
menjadi lebih malang, apabila individul yang berpengang dengan aliran
Pseudo-Salafi inilah yang menyertai ISIS serta bercita-cita mati syahid dengan
sebab itu. Tanpa mereka menyedari bahawa pengangan aqidah telah tergelincir
dalam kesesatan serta penyelewengan sekaligus mempersekutukan Tuhan, bahkan mati dalam pertempuran yang diada-adakan
oleh mereka itu hanyalah khayalan serta menjadi mati “katak” sahaja. Ingatlah,
bahawa Tuhan tidak pernah memberikan pengampunan kepada dosa syirik (menjadikan Tuhan bersekutu). Dan penyebaran
idea-idea pemikiran ini semakin tumbuh di pelbagai platform-platform yang mengelilingi
masyarakat kita terutamanya media internet, ia diibaratkan seakan cendawan yang tumbuh mekar setelah dijirus air
hujan.
No comments:
Post a Comment