Friday, November 10, 2023

Starter Pack for Salik [Wise Order for Beginner]

[Pendahuluan] Kenyataan oleh kolonis Taufik Damas dalam sesawang Nu-Oline itu adalah tepat. Tokoh rujukan bagi sumber faham ilmu bagi amalan meningkatkan spiritual adalah pada tahap membimbangkan di Nusantara sekarang ini. Di Malaysia misalnya, tokoh agamawan yang boleh menjadi sumber rujukan masalah ilmu ketepatan spiritual jiwa dan kerohanian sukar dicari serta ditemui dalam kehidupan masyarakat majmuk dewasa ini. Sebaliknya agamawan dan tokoh asatizah yang bersifat faqih lagi profesional dalam bidang hukum-hakam syariat Fekah sahaja semakin meningkat melambak dalam mana-mana pasaran di merata tempat hatta di pelusuk dunia Islam sekalipun. Bahkan segala hukum berkenaan Fekah samada dahulu atau isu kontemporari semua berjaya diperoleh dengan pembacaan online yang mudah dan dihujung jari.

Hakikat dewasa ini, masyarakat tidak mengetahui kepentingan ilmu kerohanian spiritual Islam dan matlamat bagi menghidupkan jiwa dan roh mereka. Mereka menyangka bahawa Islam datang hanya berkisarkan membawa syariat berkenaan hukum-hakam Fekah sahaja dan mengenai dosa pahala haram dan halal bagi taat atau ingkar pada syariat Fekah sahaja. Mereka tidak tahu bahawa roh juga ada syariatnya tersendiri, memiliki tatacara hukum-hakamnya dalam gerak geri tujuan dan matlamatnya. Bahkan sebahagian besar masyarakat tidak pun pernah mengetahui syariat batin atau ilmu kerohanian itu wujud dan ia merupakan tuntutan dalam agama Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW melalui wahyu juga sebagai syariat Fekah yang wajib mereka laksana sekarang. Kesannya, masyarakat Islam terus berada dalam kejahilan dan jiwa kerohanian mereka menjadi kosong dalam menyembah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Mereka seumpama buih-buih yang penuh berada dilautan, lalu datang angin hilangkan dirinya sekelip mata. Kerana menjadi Mukmin yang hanya dilihat nampak hebat diluaran namun hakikatnya kosong dan punah dalamannya.

Dalam tuntutan syariat batin, pengistilahan salik adalah tidak asing. Salik merupakan ism fa’il di atas wazam fa’ilun daripada perkataan salaka [bermaksud berjalan]. Justeru salik merujuk kepada orang yang berjalan. Salik lalu dijama’kan [dipluralkan] menjadi Salikin iaitu orang-orang yang berjalan. Pada pengertian istilahnya, Salik adalah seseorang yang berjalan menuju kehadrat Allah SWT dengan gigih dalam melaksanakan ibadat-ibadat yang besar dan kecil supaya dapat mengapai redaNya dan sampai kepada maksud perjalanan yang ditujuinya. Penulis belum memiliki suatu keberanian untuk meletakkan perkataan kerohanian atau kesufian. Kerana sebahagian ulama juga mengiktiraf bahawa orang mengamal syariat zahir itu sebagai satu jalan menuju Tuhan juga. Walaupun sehebat-hebat dari kalangan mereka itu, tiada bukti kerohanian yang boleh mengatakan mereka sampai kepadaNya.

Jalan untuk menuju Tuhan ini dikatakan dibahagikan kepada beberapa jalanan daripada ahl al-ibrah (golongan yang berpengalaman dan pernah merentasinya), iaitu jalanan bagi golongan orang syariat, tarekat, dan hakikat. Namun, dalam entri ini penulis ingin mengemukakan pujian kepada jalanan melalui jalanan orang hakikat sahaja. Sebelum itu, penulis menyedari bahawa sebahagian agamawan yang menulis karya mereka juga memberi istilah sufi kepada orang-orang alim Fekah sahaja (agamawan ke arah ortordoksi). Walaupun di sini penulis sendiri tidaklah sependapat dengan hal yang sedemikian sebagaimana yang mereka kemukakan. Kerana berdasarkan al-ibrah (pemerhatian) terhadap golongan jalanan yang faqih pada syariat semata-mata ini, tidak ada bukti bahawa mereka sampai kehadrat Allah SWT yang dimaksudkan dengan tujuan dalam pengertian istilah salik yang wujud dalam kesufian.

Maka jelaslah di sini pendapat penulis setakat ini, bahawa salik lagi sufi adalah sebetulnya merupakan golongan tepat sebagai orang yang berjalan dalam meningkatkan darajat kerohanian ditahap diredai oleh Allah SWT. Kerana perjalanan ini yang dimaksudkan adalah perjalan kerohanian yang berkaitan tatacara syariat batin, dan bukanlah perjalanan syariat zahir sahaja tanpa dapat meneka hal ahwal roh si salik serta perangainya. Melalui al-khibrah, jelas bahawa bukti yang dikemukakan oleh aliran jalanan daripada tarekat dan hakikat lebih kukuh dan konkrit elebainya tentang persoalan darajat roh orang yang berjalan semangkin berubah tahap dan meningkat. Kerana di sana roh dikatakan bertukar-tukar darjatnya daripada yang hina kepada yang dipujiNya.

[Perbincangan] starter pack ini bermaksud perkara asas sebelum melakukan perjalanan atau pengembaraan kerohanian sebagai seorang salik (orang yang menjalani suluk). Persedian yang pertama adalah menuntut supaya memiliki akidah atau iktikad yang benar dan suci. Aspek ini utama yang memainkan peranan bagi salik dalam perjalanan kerohanian supaya sampai. Kerana daripada kisah pengalaman menceritakan telah ramai salik yang berjalan dalam tempoh yang lama, bahkan tidak pernah sampai hadrat yang ditujuinya ialah Allah SWT. Ada dalam kalangan mereka berputus asa lalu berhenti di jalanan, ada dalam kalangan mereka meninggal dunia di pertengahan jalan (Tuhan mengampunkan mereka). Realitinya, kesucian unsur iktikad merupakan tempat untuk segala perbuatan kerohanian kembali dan diterima bagi tujuannya sampai ke hadratNya, sekiranya seseorang salik tidak memiliki akidah yang benar, nascaya segala amalan ibadah kerohaniannya sesat di tengah jalan sahaja dan segalanya menjadi hampa. Maka di sini, ketahuilah bahawa seseorang yang belum berjalan itu wajib atasnya mempelajari ilmu Akidah yang benar daripada ulama yang benar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar kemudian pergi berhadapan dengan Ahl al-Khibrah dalam aliran al-Kashf.

Kedua adalah menuntut dia mengetahui cara pengamalan ibadah dan istiqamah dalam memeliharanya. Semestinya dia (orang yang berkeinginan) wajiblah menuntut sekalian ilmu fardu ain dahulu. Sekadar-kadar digunakan sehari-harian kehidupan sebagai hamba Allah SWT dan juga seorang salik yang sentiasa melaksanakan ibadat harian. Dimaksudkan fardu ain di sini ialah ilmu Akidah, ilmu Fekah dan seterusnya Tasawuf. Ilmu Akidah sepertimana yang dikemukakan di atas sebentar tadi. Ilmu Fekah pula penting kerana perjalanan mestilah mengikut landasan syariat Nabi SAW secara zahir hukum-hakam Fekah yang telah disyariatkan. Tiada perjalanan selainnya, kalaulah ada orang kata, bahawa terdapat perjalanan lain lalu jalanan itu juga sampai. Maka hendaklah diketahui bahawa sampai bukanlah menjadi tauladan yang lainnya. Dia mesti tahu dan peka dengan setiap gesaan Fekah ke atas sesuatu ibadat dilaksanakan. Dia haruslah peka bahawa solat apabila masuk waktunya sahaja. Dia sepatutnya peka bahawa solat sebabnya adalah terbit atau terbenam fajar (cahayanya) disebabkan aturan falakNya. Dia kena peka bukan taqliq pada orang yang jahil bertaqliq pada Fekah spesies hybrid selamanya. Kerana asal syariat Nabi SAW adalah menjiwai kerohanian, hilanglah sekalian syariat zahir tanpa jiwa kerohanian pada maknanya (tujuannya).

Ketiga, mempunyai guru kerohanian yang mursyid. Jikalau tidak ada yang mursyid, sekurang-kurangnya guru yang pernah ditunjuki oleh mursyid. Sekiranya tidak ada, sekurang-kurang ahli ibadat yang merasai dhawq. Sekiranya tak ada sekurang-kurangnya ahli ibadat yang pernah merasai dhawq walaupun sekali. Sepertimana penulis meriwayatkan bahawa perjalanan mestilah perjalanan Nabi SAW. Baginda SAW merupakan tauladan pertama dan terakhir dalam manasik suluk ini. Baginda SAW ditunjukkan peristiwa berjalan di dalam kisah pensyariatan isra’ dan mikraj (mengaplikasikan tuntutan surah al-Isra’). Baginda SAW sekalipun berjalan serta berguru di sisinya didapati Malaikat Jibril. Jibril AS menjadi guru rahsia bahawa gurunya yang mengiringi baginda SAW dalam perjalanan menuju ketuhanan. Apabila ditanya olehnya baginda SAW mengenai sesuatu hal, maka Jibril AS menjawabnya. Justeru, apabila ditanya oleh seorang murid yang salik, guru mursyidlah jawapannya. Guru mursyid yang menjaga dan memeliharanya daripada keselewengan dalam proses perjalanan sebagai salik. Sungguhnya guru mursyid sedia diketahui bahawa sukar untuk didapatinya (rujuk isu kolonis Taufik Damas di atas sana sebentar tadi). Apa yang perlu diikhtiarkan adalah senantiasalah berdoa untuk bertemu dengannya.

Keempat, mempunyai niat yang suci dan murni. Suci tahap pertama suci bagi kategori orang awam. Kategori awam meniatkan apa yang mereka rasa menyenangkan di dunia dan memberi dia akan keingingannya. Misalnya, mereka melaksanakan solat sunnat dhuha bagi memperoleh rezeki dunia berlipat ganda. Suci tahap kedua adalah suci daripada kategori orang syariat. Kategori syariat meniatkan semoga mendapat kebajikan dan pahala di atas setiap susah payah ibadatnya. Suci tahap ketiga ialah suci kategori orang tarekat. Kategori tarekat meniatkan pangkat bagi iman, darjat, kasyaf, ladunni, karamah dan sebagaimananya dalam melaksanakan ibadat. Adalah niat yang sebenar-benar niat yang diperlukan oleh salik yang sebenar ialah niat kategori orang hakikat. Orang hakikat meniatkan semata-mata kerana mencintaiNya (Mencintai Allah dan RasulNya). Mereka tiada hairan akan pahala, syurga, neraka, karamah, kasyaf, ladunni sebagainya. Keikhlasan cinta ini sukar untuk penulis ceritakan dan ditafsirkan kecuali dia sendiri akan menonjolkan dengan segala perbuatannya, setidaknya berhentilah huraian bagi mereka yang cerdik akan di sini. Di sini tiadalah yang menyintai itu, kecuali sentiasa menyaksi yang dicintainya. Intaha.

No comments:

Post a Comment